Temubual mesra bersama Y. Bhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda
 Oleh: Nur Asmat, Nur Hazlina & Nur Faiza

Picture
TERSENYUM... Dato’ Dr. Muhamad Muda berjabat tangan dengan mantan USIM.
Pertama dan selamanya, setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kami ucapkan kepada Naib Canselor baru USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda di atas kesudian dan kerjasama beliau untuk ditemu ramah. Dari raut wajah beliau yang  tegas dan profesional membuatkan kami sedikit gementar untuk menemuramah beliau, tetapi apabila ditemu ramah, rupanya beliau merupakan seorang yang peramah dan mudah untuk didekati. Sepanjang sesi wawancara berlangsung, beliau menunjukkan sifat mesra pelajar dan memberi maklum balas yang sangat positif kepada kami. Ia memudahkan serta sangat membantu kerja kami. Berikut adalah paparan wawancara eksklusif USIMTODAY, Nur Asmat Ahmad, Nurfaiza Darman dan Nur Hazlina Hanipha bersama beliau tentang perkembangan terbaru USIM.

Apakah perasaan Dato’ setelah dilantik menjadi Naib Canselor USIM yang baru?

Setiap jawatan itu adalah amanah dan tanggunjawab. Saya bersyukur pertama sekali diberikan kepercayaan untuk menerajui  universiti yang baru berkembang, tapi dalam masa yang sama saya merasakan bahawa ini satu amanah yang besar dan memikul amanah ini bukan satu perkara yang boleh kita pandang mudah kerana ini bukan sahaja amanah masyarakat tapi amanah ummah juga sebab USIM ini ada misi, visi dan matlamat yang berkaitan dengan isu-isu masyarakat dan Islam. Jadi ia pasti satu tugas yang agak besar. Alhamdullilah saya terima ini sebagai satu cabaran untuk bersama-sama kita berkerjasama bagi mencapai visi dan misi USIM.

Apakah misi dan visi Dato’ dalam meningkatkan kemajuan USIM?

Visi dan misi USIM ini masih sama. Dari segi visinya, kita ingin memartabatkan kecemerlangan ilmu dan insan. Saya rasa ia satu visi yang paling ideal dan menjadi teras kita. Saya rasa visi itu tidak boleh kurang demi memartabatkan ilmu dan juga insan. Dua elemen ini kita boleh kaitkan bagaimana makhluk ini boleh hidup. Insan tanpa ilmu mungkin tidak akan menjadi makhluk yang sempurna. Kalau ilmu sahaja tanpa insan yang membawa dan mengamalkannya  mungkin tidak akan sampai maksud ke arah mana ilmu itu dibawa.

Jadi, saya rasa visi itu tidak akan berubah dan itu yang kita akan bawa dan kita pegang. Sama juga dengan misi universiti untuk kita menjadi sebuah institusi ilmu yang terkehadapan berteraskan pengajian Islam, dan untuk melihat isu-isu masyarakat dan juga Islam itu sendiri dan ini merupakan misi yang ideal. Pertama, kita ingin membawa universiti kita ini supaya sentiasa di hadapan. Maksudnya di sini ialah di hadapan masyarakat dan ilmu. Sebenarnya ilmu itu sentiasa di hadapan dan kita yang mengejar ilmu. Tetapi kalau kita bandingkan ilmu yang dikuasai oleh orang lain dan ilmu yang kita perolehi, maka kita mengharapkan kita adalah insan yang berada di hadapan. Dalam erti kata lain mengembalikan ilmu. Ilmu itu memang sedia ada, diturunkan Al-Quran dan Al-Sunnah yang mengandungi segala rahsia di dalamnya. Jadi, untuk kita mendalami ilmu tersebut kita harus berusaha. Sesiapa yang terdahulu mendapat ilmu, dia berada di hadapan. Maka, kita mengharapkan institusi kita antara yang terkehadapan sampai kepada ilmu itu. Jadi, ini tidak akan berubah dan terus jadi pegangan kita serta menjadi landasan kepada apa jua yang kita lakukan di dalam universiti kita. Segala perancangan, strategi dan tindakan kita akan berlandaskan kepada visi dan misi.

Sebagai Naib Canselor yang baru, apakah perancangan Dato’ terhadap masa depan USIM? Apakah dasar-dasar baru yang bakal Dato’ laksanakan?

Dari segi dasar, kita sememangnya sudah mempunyai dasar dan saya ingin tekankan di sini bahawa selama 10 tahun USIM ditubuhkan semenjak dibawah pimpinan Naib Canselor yang pertama iaitu Prof. Dato’ Abu Shukor Hussin, beliau telah meletakkan USIM dalam satu tapak yang sangat kukuh. Dari segi fizikalnya, dahulu kita tidak mempunyai kampus, menumpang dan menyewa sehinggakan kita mempunyai satu kampus yang baru dengan kawasannya yang cukup luas, kemudahan yang cukup selesa. Itu sudah memang tersedia, dari segi sistem pentadbiran juga memang sudah sedia ada, serta mempunyai dasar dan prosedur. Dasar ini jelas misalnya, salah satu daripada dasar kita ialah ingin melahirkan graduan yang mempunyai daya gaji yang tinggi dan keperibadian holistik yang dikatakan sebagai insan.

Dari segi pentadbiran pula terdapat dasar-dasar untuk meningkatkan keupayaan staf dan pensyarah. Jadi, dasar kita untuk menyajikan program pengajian yang bermutu tinggi dan diiktiraf bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara, dan kita berusaha ke arah itu. Selain itu juga, dasar kita untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti. Jadi, semua ini dilakukan dalam masa 10 tahun tersebut, iaitu pembinaan kapasiti bangunan. Itu sejarah yang sangat penting dan saya juga terlibat dalam proses ini kerana  dahulunya saya sebagai Dekan FEM dan Timbalan Naib Canselor Akademik Antarabangsa. Jadi, kebanyakan keputusan dibuat bersama dan mengikut pandangan ramai. Maka, kita akan teruskan dasar tersebut kerana ia merupakan dasar yang baik, kita sudah berbincang lama dengan semua fakulti, staf dan mahasiswa mengenai perkara ini.

Dasar itu kita teruskan, cuma mungkin sekarang ini kita membuat satu anjakan dalam fasa kedua USIM, selepas melepasi dasar pertama. Maka, dalam fasa kedua ini kita perlu membuat anjakan supaya hasrat kita untuk menjadi universiti yang terkehadapan benar-benar terjadi.

Secara ringkasnya, kita masih lagi membuat perkara yang sama, “We do the same thing but differently.” Ini pendekatan yang akan saya bawa dalam pentadbiran sekarang. Jadi kita perlu menerapkan inovasi dan kreativiti kerana kita membuat perkara yang sama.

Sebagai contoh, sekiranya saya sebagai pelumba basikal, saya mengayuh basikal tersebut  tetapi bagaimana saya akan menang jikalau saya masih lagi menggunakan cara yang lama. Saya kena gunakan cara yang berbeza. Mungkin, perlu mengubahsuai basikal tersebut, barulah berjaya. Jadi kita harus faham, kerana kita tidak mahu orang beranggapan apabila ada pentadbir baru semua akan berubah. Harus diketahui, fungsi tidak akan berubah, cuma cara mungkin berbeza.

Apakah pendapat Dato’ tentang isu penjimatan elektrikyang diamalkan di USIM sekarang?

Mengenai isu penjimatan elektrik, universiti kita antara universiti yang paling  banyak dipotong bajet. Perdana Menteri sudah membuat penyataan dalam surat khabar mengingatkan supaya kementerian memotong 15% daripada bajet.

Apa yang ingin saya katakan di sini, kita tidak perlu berjimat tetapi perlu mengurangkan pembaziran. Kita lihat di mana kita membazir. Kadang-kadang  kita lupa dalam banyak perkara. Mi- salnya, di asrama kita lupa menutup lampu maka kawan mengingatkan kita supaya menutup lampu.

Apabila kita mengkaji, kos mahasiswa yang universiti terpaksa tanggung hampir satu juta sebulan. Misalnya bas, kos penyewaan memakan belanja beratus ribu sebulan. Bas itu keperluan utama mahasiswa, tetapi kadang-kadang saya melihat bas berulang-alik tanpa pelajar, dan itu adalah satu pembaziran.

Selain itu juga, saya sedih melihat pavilion, kita membelanjakan RM30juta untuk menyiapkannya dan untuk mengekalkan rumput padang sahaja hampir setengah juta setahun, tetapi tidak digunakan sepenuhnya oleh mahasiswa. Maka ia menjadi pembaziran dan sepatutnya ia dimanfaatkan untuk melahirkan atlit-atlit dan juara bagi membanggakan USIM.

Begitu juga perpustakaan yang mana kita membelanjakan lebih RM30 juta untuk menyiapkannya, walaupun ia bangunan termurah dan tercantik di antara universiti-universiti yang lain, kerana diabaikan, maka ia menjadi pembaziran.

Sekarang, saya sedang memikirkan bagaimana untuk mengelakkan pembaziran tersebut supaya ia boleh mendatangkan keuntungan dari segi kewangan ataupun penggunaannya. Oleh itu, kita harus menyusun semula dasar bagi mengelakkan pembaziran.

Apakah harapan Dato’ terhadap kemajuan USIM?

Harapan saya ialah kita dapat melahirkan mahasiswa yang holistik sifatnya dalam konteks kepimpinan di dalam pelbagai bidang dan berdaya gaji yang tinggi kelak. Saya juga berharap universiti kita menjadi institusi pendidik bukan mendidik.

Dalam Bahasa Inggerisnya, “We are not educational institution, we are educating student, we educate people.”

Isu–isu biasa yang selalu dibangkitkan seperti kelulusan Bahasa Inggeris. Mengapa USIM sahaja yang memaksa untuk lulus Bahasa Inggeris bagi syarat pengijazahan sedangkan tidak  di universiti lain? Pada hakikatnya, kita tahu ramai graduan kita yang mempunyai kelulusan Bahasa Inggeris yang baik dan mendapat pekerjaan yang bagus. Oleh itu, jika kita mengalah dan memansuhkan syarat tersebut, kita akan mundur ke belakang. Ini yang sebenarnya kita cuba perbetulkan.

Kita tidak nampak yang pelajar kita ini lemah kerana semua pelajar yang diserap masuk adalah pelajar yang terbaik. Sebagai contohnya, pelajar Tamhidi yang kebanyakkannya mendapat keputusan 9A, 10A dan 11A dalam SPM. Jadi, dari segi keupayaan adalah sedia ada dan yang menjadi masalah adalah kekurangan dari segi kemahuan. Sekiranya kita ingin berjaya, dua elemen penting yang harus kita ambil berat adalah kemahuan dan kemampuan.

Harus diingat, tugas mahasiswa kita bukan berakhir di sini sahaja. Apa yang USIM lahirkan hari ini, itulah yang akan melahirkan generasi akan datang. Jika mahasiswa yang kita lahirkan tidak berkualiti maka generasi akan datang pun tidak akan berkualiti. Jadi, kita mesti melahirkan mahasiswa yang berkualiti bagi memartabatkan ilmu dan insan.

Sebagai akhirnya, apakah nasihat Dato’ untuk warga USIM khususnya mahasiswa dan mahasiswi?

Paling penting, mahasiswa kita hendaklah membuka minda. Saya ibaratkan mahasiswa kita sebagai mangkuk emas iaitu, bukan calang-calang mangkuk dan ada penutup yang cantik dan diisi dengan makanan yang sedap-sedap.

Dia datang kita isi, dan kita ada hidangan-hidangan yang lazat iaitu program-program kita yang pelbagai,  pensyarah kita pula bersemangat yang kita boleh ibaratkan sebagai  tukang masak, mengajar dan memberi ilmu, pelbagai ilmu disampaikan kepada mahasiswa  tetapi apabila tamat belajar, keputusan menurun, kenapa semua ini harus terjadi? Hal ini berlaku kerana kita tidak buka minda.

Sebagaimana hebatnya dan pintarnya otak kita, jika kita tidak buka minda, tidak akan ada ilmu yang masuk, maka mahasiswa haruslah membuka minda. Jikalau semua mahasiswa kita boleh membuka minda, maka kita akan melahirkan insan yang berkualiti, berilmu dan kita akan sampai ke arah kejayaan yang kita inginkan.