Mahasiswa ‘tidak takut’
 Oleh :Filzah, Adilah Farhah, Siti Khuzaimah & Mohd Fadzil  

Picture
SIBUK...menjalankan tugas masing-masing
 NILAI- Sempit, sesak, panas dan padat. Begitulah keadaan kempen derma darah yang berlangsung pada 26 hingga 27 Januari 2010 bertempat di hadapan Dewan Kuliah Sederhana (DKS) 1.1 - 1.4, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Pusat Darah Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kempen ini mendapat sambutan di luar jangkaan apabila ramai mahasiswa dan mahasiswi USIM dari pelbagai fakulti seperti Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), dan Pusat Tamhidi turut serta  menderma darah. Program yang diadakan setiap semester ini dikendalikan oleh doktor professional dan kakitangan dari Pusat Darah Negara.

Menurut Norul Hazlina Mohamed Atar, Penolong Pegawai Penerangan Pusat Darah Negara, beliau berpuas hati dengan sambutan yang menggalakkan daripada warga USIM terutama mahasiswa dan mahasiswi USIM yang turut membantu menjayakan kempen ini. Sambutan memberangsangkan dari mahasiswa USIM dapat dilihat sejak hari pertama program ini dijalankan dan sambutan lebih hangat pada hari kedua apabila mahasiswa USIM sanggup beratur bagi memastikan mereka juga dapat menderma darah.

Beliau juga mencadangkan agar program seperti ini dapat diadakan di tempat yang lebih luas bagi memudahkan proses pengambilan darah daripada penderma lebih cepat dan sempurna.

Hal ini kerana, sebelum ini Pusat Darah Negara dapat membuka lebih banyak katil di foyer FKP, namun disebabkan ada aktiviti lain yang dilakukan di tempat tersebut maka hanya sembilan buah katil sahaja yang dapat dibuka di tempat yang baru.

Menurut Hafizul Fikri Mah Ali, Tahun 2, FEM, beliau teruja apabila program derma darah diadakan di kampus kerana beliau suka menderma darah dan membantu mereka yang lebih memerlukan. Menurut Hafizul lagi, dia sudah menderma sebanyak tiga kali iaitu dua kali di kampus tetap USIM, Nilai dan sekali ketika menuntut di pusat matrikulasi.

Selain itu, beliau berpendapat dengan menderma darah para penderma dapat mengetahui jenis darah dan mengetahui status kesihatan mereka.

Di samping itu, beliau turut di- dedahkan dengan ilmu baru mengenai syarat-syarat untuk menderma darah seperti tidak boleh menderma jika demam dalam tempoh tiga hari dari hari menderma dan tidak mengambil paracetamol atau ubat-ubatan lain.

Hal ini kerana sekiranya pender-ma dalam keadaan tidak sihat, darah yang diderma mungkin akan memberi kesan kepada penerima darah.