Usaha meningkatkan generasi tanpa rokok gagal

 Di Malaysia, pelbagai kempen giat dijalankan demi melahirkan masyarakat yang sihat, berdisiplin, bertanggungjawab, dan mampu menerajui negara dengan adil di masa akan datang. Apatah lagi banyak agensi kerajaan berlumba-lumba mencipta idea-idea kreatif serta me- ngadakan pelbagai bentuk kempen kesedaran khususnya untuk memberi pendedahan kepada masyarakat.

Walaupun pelbagai kempen seperti kempen keselamatan jalan raya atau lebih dikenali sebagai Ops Sikap, kempen kesihatan yang berkaitan dengan wabak penyakit (H1N1) serta kempen ‘Tak Nak Merokok’ telah diadakan, namun kempen-kempen ini tidak menampakkan hasil yang memuaskan semua pihak.

Kempen ‘Tak Nak Merokok’ telah dipertontonkan melalui media elektronik dan media cetak di Malaysia. Walaubagaimanapun, ianya masih tidak mendapat tindak balas positif daripada perokok-perokok khususnya perokok tegar. Malah tidak keterlaluan jika ada yang mengatakan usaha murni itu disifatkan sebagai pembaziran wang rakyat.

Kajian Kementerian Kesihatan mendapati 45 hingga 50 kanak-kanak bawah 18 tahun telah menjadi perokok baru setiap hari, manakala setiap tahun jumlah perokok semakin me-ningkat sebanyak 30,000 orang dan seluruh negara kini mempunyai lebih 3.12 juta orang perokok.

Pelbagai cara dilakukan kerajaan seperti menayangkan iklan yang cukup menakutkan melalui televisyen, gambar pelbagai jenis penyakit berbahaya akibat merokok dipaparkan di setiap kulit kotak rokok, menaikkan harga rokok serta mewujudkan 270 buah Klinik Berhenti Merokok untuk membendung gejala ini dari berleluasa. Namun ianya tidak meng halang perokok tegar atau perokok yang baru berjinak-jinak untuk membelinya.

Bagi perokok, merokok adalah suatu gaya hidup yang menyeronokkan, lambang kematangan dan kedewasaan di kalangan rakan sebaya serta daya penarik bersosial selain daripada menunjukkan tanda keberanian.

Kesemua program atau kempen yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan menelan perbelanjaan yang sangat tinggi sehingga mencecah RM20 juta setahun atau RM100 juta untuk lima tahun. Jumlah itu tidak termasuk kos mewujudkan 270 buah Klinik Berhenti Merokok.

Jadi, sejauh manakah keberkesanan semua kempen tersebut? Adakah kempen ini mampu mencapai sasaran yang dikehendaki atau kempen ini hanya mahu dikenali sebagai kempen tanpa sasaran? Perlu diingat, yang kaya hanyalah ‘tauke printing’, ‘tauke papan iklan’ serta syarikat media TV dan radio swasta.

Peliknya, semakin bahaya sesuatu benda atau perkara yang dilakukan semakin masyarakat suka melakukannya. Tambahan pula, semakin banyak kempen dijalankan untuk kepentingan bersama semakin ramai yang tidak mengendahkannya.

Ini menunjukkan masyarakat khususnya perokok sudah tepu dan lali dengan perkara sebegini. Timbul tanda tanya kenapa mereka tidak pernah rasa bersalah terhadap kesihatan mereka sendiri dan tidak berasa rugi bakar duit?

Adakah disebabkan strategi kempen tersebut tidak dilakukan dengan sebaik-baiknya ataupun masyarakat itu sendiri yang tidak mahu mengubah sikapnya?

Tepuk dada tanyalah diri sendiri. Sudah tiba masanya untuk masyarakat khususnya perokok tegar membuka mata seluas-luasnya, merenung dan  muhasabah diri akan pembaziran wang kesan daripada pembelian rokok selama ini serta mengambil berat terhadap kesihatan diri sendiri dan juga orang lain.

Jika anda seorang perokok dan  merasakan kempen anti merokok itu tidak berguna, dan tidak akan member kesan kepada tabiat merokok anda,  maklumkanlah kepada pihak yang menjalankan kempen supaya menyalurkan wang tersebut kepada orang lain yang benar-benar memerlukan wang tersebut. Gunakannya untuk aktiviti kempen lain yang mungkin boleh memberikan kesan kepada masyarakat. Inilah jasa anda sebagai seorang perokok. Katakan “Tak Nak” kepada kempen yang membazir, “Tak Nak” kepada sikap hipokrit dan  “Tak Nak” kepada kerja yang sia-sia.

 Sudut Pidato diwujudkan semula

Picture
Sudut Pidato atau lazimnya disebut "speaker corner" adalah pentas bagi mahasiswa mengasah bakat berucap dan menggalakkan perbincangan intelektual. Sepertimana yang kita ketahui, sebuah kepimpinan mahasiswa yang ada ideologi tersendiri terbentuk sekiranya mahasiswa diberikan hak untuk bersuara, merasakan bebas untuk berfikir dan melontarkan idea serta tidak takut untuk berbeza pandangan.

Sebaik sahaja wujud demonstrasi Baling yang digerakkan mahasiswa, pihak kerajaan telah meminda Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pa-da 1971. Antara kesan dari pindaan itu, Sudut Pidato telah diharamkan berikutan pindaan AUKU 1971 kerana ia disalahgunakan untuk berpolitik. Pindaan ini mematikan gerakan mahasiswa di kampus.  Hasil desakan dan kritikan berterusan, kerajaan sekali lagi meminda akta ini.

Pada 30 Disember yang lalu, Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT) berkata, “Sejajar dengan pindaan ini, Sudut Pidato akan kembali diwujudkan dalam usaha menjana nilai keintelektualan mahasiswa.” Dato’ Saifuddin juga mengakui dalam lapan teras kokurikulum universiti, pengucapan awam berada di tangga paling bawah.

 Sehubungan dengan itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjadi universiti pertama yang menganjurkan Sudut Pidato selepas 34 tahun diharamkan berikutan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin berkata, “Langkah UKM menganjurkan semula Sudut Pidato itu diyakini mampu melahirkan golongan mahasiswa bertanggungjawab serta mencorak kepimpinan cemerlang di kalangan mereka.”

Beliau berkata, “Pindaan semula AUKU yang diwartakan pada Februari lalu membuktikan kerajaan bersifat terbuka dalam memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk menghidupkan budaya keilmuan dan intelektual di peringkat universiti.”

Universiti terkemuka dunia yang turut menganjurkan Sudut Pidato dan menjadi acara utama kalendar mereka adalah Universiti Oxford, Universiti Cambridge dan Universiti Harvard.

Menurut Mohamed Khaled, selaras dengan misi nasional bagi mencapai matlamat pembangunan berasaskan ilmu pengetahuan dan inovasi, Sudut Pidato memberi lebih kebebasan bersuara kepada mahasiswa. Bagaimanapun katanya, “Sudut Pidato di kampus perlu mengikut peraturan dan berbeza daripada amalan pada era 60-an dan 70-an.”

Antara  panduan dan peraturan untuk mengadakan Sudut Pidato ialah menekankan aspek modal insan, berhemah, berasaskan fakta, bertanggungjawab dan hormat-menghormati.

Sempena pelancarannya yang disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Universiti Kebangsaan Malaysia, tiga pelajar telah diberi peluang untuk berpidato.

Menurut salah seorang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Izzat Fathi Hisham menyifatkan dirinya bertuah kerana menjadi pemidato pertama Sudut Pidato Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diaktifkan semula selepas diharamkan melalui Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pada 1971.

Beliau yang berucap mengenai topik keusahawanan dalam kalangan pelajar teruja kerana dapat meluahkan pandangan dan idea pada majlis paling bermakna dalam sejarah Institusi Pengajian Tinggi Negara.

Selain itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, Adlin Noramirah Mohamed yang turut diberi penghormatan berucap di pentas itu yakin sudut berkenaan menyuntik semangat di kalangan mahasiswa.

Beliau berkata, "Selain menjadi pentas untuk pelajar menyampaikan pendapat mereka, sudut ini juga membolehkan pelajar menyuarakan perasaan mereka mengenai sesuatu isu, termasuk politik, ekonomi dan sosial.”

Pemidato ketiga, Syamimi Ab Rahman, pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah Perundangan Islam yakin pelajar tidak menyalahgunakan pentas sehingga menyentuh isu sensitif dan memburuk-burukkan orang lain.

Sementara itu, Tokoh Akademik Negara Tan Sri Khoo Kay Kim, berkata,  “Kerajaan kini semakin liberal dan banyak memberi peluang kepada pelajar bersuara.

“Kebebasan ini perlu dioptimumkan dengan kupasan isu bernas dan forum perbincangan sesama pelajar supaya mendapat gambaran jelas mengenai objektifnya.”

Berikut adalah wawancara antara wartawan USIM Today dan En Md Ishah Abd Rahman, Penolong Pendaftar Kanan Unit Pembangunan Pelajar:

Apakah pendapat En.Ishah tentang sudut pidato atau “speaker corner” yang akan diperkenalkan semula?

Buat masa sekarang, ia masih dalam perancangan dan masih menunggu kelulusan dari pihak universiti .

Apakah tajuk pidato yang dibenarkan?

Antara tajuk yang dibenarkan ialah perkara yang melibatkan mahasiswa, negara dan tidak menghentam  pihak universiti. Ia juga mestilah tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Manakala tajuk politik pula tidak dibenarkan untuk dibahaskan.

Apakah tujuan sudut pidato ini diperkenalkan?

Sudut pidato ini diperkenalkan untuk melatih pelajar berkomunikasi kerana memberi peluang kepada pelajar untuk bercakap secara terbuka, di samping melahirkan sahsiah holistik.

Apakah perbezaan antara pidato dan debat?

Pidato hanya melibatkan satu haluan komunikasi sahaja. Manakala debat pula melibatkan tiga orang pendebat dalam satu kumpulan dan setiap pendebat mempunyai tugas tersendiri. Selain itu, pendebat dibenarkan bercakap selama 30 minit dan hujah mestilah konkrit. Yang menariknya, pembangkang dan pencadang boleh mencelah.

Apakah harapan En.Ishah tentang  sudut pidato ini?

Harapan saya ialah pelajar perlu berfikir secara kreatif dan kritis untuk mengekalkan kaedah yang sedia ada. Ini kerana pandangan pelajar tidak pernah dihalang. Malah sudut pidato dapat membantu pelajar untuk tindakan selanjutnya.

Contohnya, bagi tujuan cadangan  penambahbaikan daripada pelajar kepada universiti. Pada pendapat saya juga, USIM Today memainkan peranan penting untuk menerangkan tentang syarat-syarat pidato dan menghebahkan secara menyeluruh tentang kepentingan sudut pidato di universiti.

Sehubungan dengan itu, ia tidak akan menjadi masalah jika pelajar bersama-sama menyokong penubuhan semula Sudut Pidato ini.