Usah permainkan kalimah ALLAH
Oleh : Nur Amirah & Noor Ferooza

Isu kalimah Allah merupakan satu lagi serangan terkini terhadap Aqidah Islam oleh orang-orang Kristian semakin hangat dibincangkan. Isu ini bermula apabila majalah Herald Catholic Weekly telah menggunakan kalimah suci ini di dalam penerbitan mereka. Pelbagai pihak telah memberi pandangan dan ulasan terhadap isu hangat ini. Ada yang menyokong serta ada pula yang tidak bersetuju sama sekali kalimah suci ini digunakan dengan sewenang-wenangnya oleh orang bukan Islam.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama mereka menggunakan kalimah Allah di dalam penulisan. Bahkan jika ditinjau dan diperhatikan,sebelum ini pun terdapat brosur-brosur dan buku-buku berwajah Islam yang turut menggunakan kalimah Allah seperti Rahsia jalan yang lurus, Kiamat, Komik kisah yang paling menarik untuk diceritakan dan lain-lain disebarkan secara percuma oleh orang-orang bukan Islam. Ini adalah satu taktik untuk menjatuhkan Islam. Mereka juga telah menggunakan kalimah suci Allah ini di dalam Bible bahasa Melayu yang dikenali sebagai Al-Kitab, Berita Baik.

Perselisihan pendapat bukan sahaja berlaku di kalangan masyarakat bahkan melibatkan sarjana kedua agama terbesar di dunia hari ini iaitu Islam dan Kristian. Sebahagian Ulama’ berpendapat bahawa harus menggunakan perkataan Allah bagi orang-orang bukan Islam. Walaupun begitu, kebanyakan Ulama’ mengharamkan penggunaannya berdasarkan realiti dan Waqi’ di Malaysia.

Walaubagaimanapun, ada Ulama’ yang menyokong dan membolehkan penggunaan Kalimah Allah ialah Syeikh Fauzi Al-Zafzaf iaitu bekas Timbalan Rektor Al-Azhar yang sekarang ini menjawat jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Dialog Antara Agama Universiti Al-Azhar.

Menurut Dr. Mikail Ibrahim, Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama berkata bahawa penggunaan kalimah Allah ini tidak patut digunakan oleh orang bukan Islam kerana perkara ini boleh mengelirukan orang Islam yang mungkin tidak mempunyai pengetahuan Islam secara mendalam.

Kenapa orang Kristian dan bukan Islam mesti menggunakan kalimah Allah itu sedangkan kalimah Allah adalah kalimah yang agung yang patut kita peliharanya dan agama lain juga mempunyai sebutan perkataan tertentu untuk Tuhan mereka,” katanya lagi.

Tambahannya lagi, kita sebagai umat Islam sepatutnya berhati-hati dengan tipu muslihat dan politik Kristian dan agama lain kerana beliau pernah di tegur oleh seorang yang berpakaian tudung seperti cara pakaian orang Islam tetapi dia berdakwah  dan menyeru beliau untuk memeluk Jesus.

Antara  perkataan yang termaktub dalam larangan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia menerusi keputusan kabinet yang bertarikh 16 Mei 1986 bagi mana-mana agama selain Islam untuk menggunakan empat perkataan iaitu  Allah, Solat, Baitullah dan Kaabah.

Malah ada sesetengah negeri yang menambahkan lagi beberapa perkataan yang dianggap boleh mendatangkan kekeliruan dan bahaya kepada umat Islam apabila  digunakan  oleh bukan Islam.  Namun yang peliknya kenapa masih lagi ada yang cuba menuntut kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penerbitan bahan bercetak mereka?

Mungkin kita boleh menjangkakan bahawa alasannya ialah kalimah Allah tersebut adalah kalimah terjemahan dari Bahasa Inggeris yang menggunakan kalimah God dalam Bible terbitan Bahasa Inggeris yang telah sekian lama digunakan. Sama ada kita sedar ataupun tidak, tuntutan ini sebenarnya amat berbahaya kepada umat Islam sekiranya penggunaan kalimah Allah dibenarkan kepada orang bukan Islam, kerana ianya lebih banyak menimbulkan  kekeliruan di dalam masyarakat.

Bayangkan jika berlakunya kekeliruan yang akan timbul di dalam masyarakat adalah terutamanya kepada golongan muda dan juga kepada kanak-kanak Muslim apabila terbaca iklan-iklan atau papan-papan tanda yang berbunyi "...Aku adalah anak Allah" atau "...damai sejahtera dari Allah, Bapa kita dan dari Tuhan Jesus Kristus" atau "...anak Allah yang hidup" yang semuanya merupakan terjemahan terus dari Bible terbitan Bahasa Inggeris. Sebenarnya banyak lagi ayat-ayat atau ungkapan-ungkapan yang diterjemahkan ini boleh mengundang  kekeliruan yang akhirnya boleh membatilkan fahaman agama terhadap masyarakat Islam yang kurang pengetahuannya tentang Islam.

Jelaslah di sini bahawa kewajaran pihak kerajaan Malaysia melarang penggunaan kalimah Allah untuk digunakan oleh bukan Islam patut disokong oleh segenap masyarakat termasuk bukan Islam sendiri. Selepas Selangor dan Pahang, Kedah, Johor, Melaka, Terengganu, dan Negeri Sembilan juga sudah menguatkuasa– kan enakmen tentang larangan penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam melalui Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam di negeri masing-masing.

Sesungguhnya semua enakmen itu adalah bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat kita apabila kalimah yang tidak tepat digunakan oleh mereka yang mempunyai kepentingan tertentu akan mengundang padah yang akhirnya membawa kerugian kepada semua pihak. Jika kita lihat pada Perlem- bagaan itu sendiri, Perkara 3 adalah mengenai Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan.          

Perkara 11(1)Perlembagaan Persekutuan menyatakan: “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4) mengembangkan-nya.”

 Mengenai pengembangan agama kepada orang Islam berdasarkan perkara 11 (4) yang menyebut: “Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dikalangan orang yang menganuti agama Islam.”