Muharam 1431 vs New Year 2010
 Oleh: Siti Khuzaimah & Siti Rahmah

Picture
Paragraph.

 


Seperti tahun-tahun sebelum ini, tahun baru Hijrah kini menjengah lagi, begitu juga dengan tahun baru Masihi. Kedua-duanya datang silih berganti dan pastinya segala baik dan buruk yang berlaku sebelum ini dapat dijadikan pengajaran dan contoh untuk meniti hari-hari mendatang. 

     Kedatangan bulan Muharam pastinya detik yang paling dinantikan bagi mereka yang memahami hakikat sebenar bulan Islam ini dan pastinya akan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Muharam merupakan bulan penuh keberkatan dan rahmat kerana bermula dari bulan inilah berlakunya segala kejadian alam ini. Muharam juga merupakan bulan penuh sejarah, di mana banyak peristiwa yang berlaku sebagai menunjukkan kekuasaan dan kasih sayang Allah kepada makh- luknya. Bulan Muharam ini sewajarnya dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti keagamaan seperti ceramah keagamaan, tadarus Al-Quran, mengimarahkan masjid dan aktiviti yang seumpama dengannya.

    Tatkala menjelangnya tahun baru Islam atau Masihi, setiap individu pasti akan mempunyai azam baru. Kita sebagai umat Islam mestilah berazam dengan azam yang selari dengan kehendak agama kita bukan sebaliknya. Kita mesti mengetahui sejauh manakah kemampuan dan kelemahan yang ada pada diri kita dalam mencapai azam yang telah ditanam. Jangan terlalu mengharapkan sesuatu yang luar daripada kemampuan diri kita seumpama ingin memeluk gunung. Ingatlah bahawa azam seseorang mampu membelah sebuah bukit dengan syarat kemampuan yang ada mesti diadunkan dengan istiqomah dan kesungguhan maka akan terhasil. Usahakan setiap urusan akhirat kamu seumpama kamu akan mati esok hari dan gandakan usaha untuk dunia kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi. Apa yang penting bagi kita umat Islam dalam menyemat azam baru maka  mesti berkait antara hari akhirat dengan kehidupan dunia kita.

     Jika kita memisahkan antara akhirat dan dunia maka kita akan rugi. Begitu juga bila kita melebihkan dunia sehingga mengurangkan penumpuan kita pada bekalan untuk meneruskan kehidupan di akhirat sana, maka kita akan dihina. Ingatlah bahawa dunia adalah jambatan untuk sampai ke negeri akhirat. Oleh itu, pastikan niat dan azam kita serasi dengan kehendak agama. Kita dilahirkan untuk beribadat maka jadikanlah setiap niat, gerak geri kita adalah kerana Allah dan untuk membantu Islam bukannya untuk mencapai kepentingan peribadi sahaja. Jika diperhatikan dengan teliti kedatangan tahun baru yang sebelum ini, kita dapati sambutan tahun baru disambut dengan penuh meriah dan bangga sebaliknya Muharam disambut sederhana dan sepi. Di manakah silapnya? Umat manusia kini lebih cenderung memanfaatkan tahun baru Masihi berban- ding tahun baru Hijrah. Seperti kebia- saannya, pelbagai aktiviti direncanakan bagi menyambut tahun baru dan pastinya disebarkan secara menyeluruh di kaca televisyen, corong-corong radio serta media cetak. Pastinya sambutan yang diterima amatlah memberangsangkan, seluruh warga kota sanggup turun memeriahkan majlis dan gembira dapat meraikan tahun baru beramai-ramai.

     Seperti tahun-tahun sebelum ini, orang ramai akan berhimpun beramai-ramai di lokasi-lokasi tertentu bagi meraikan kedatangan tahun baru dan menanti menjelangnya detik 12 tengah malam. Antara acara yang seringkali tidak dilupakan adalah Konsert Ambang Tahun Baru yang diraikan dengan gilang gemilang.

     Seluruh lapisan masyarakat tidak melepaskan peluang untuk menyaksikannya. Namun, apa yang dikesali terdapat segelintir remaja terjerumus ke dalam kancah maksiat seperti pergaulan bebas serta pelbagai aktiviti yang tidak sihat dan tidak bermoral terjadi di sana sini tanpa ada sedikit pun rasa segan.Jika kita hayati bulan Muharam yang agung ini, kita tidak akan meraikannya sebegini, namun fenomena ini bagaikan sebati dengan kedatangan tahun baru yang sepatutnya dimanfaatkan dengan perkara yang mendatangkan faedah. Justeru itu, diharapkan perkara sebegini tidak lagi menjadi satu tradisi anak muda yang bakal di ulang untuk tahun-tahun akan datang.