Pelajar USIM sertai “Road Safety Walk”

Oleh: Mohamad Fadzil

Picture
 SEREMBAN - Seramai 35 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyertai Program “Road Safety Walk” di Majlis Perbandaran Seremban Negeri Sembilan, anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Negeri Sembilan.

Program yang dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hassan itu turut disertai YB Menteri Pengangkutan, Datuk Sen Ong Tee Keat dan Ketua Pengarah Jabatan, Datuk Suret Singh.

Program tersebut diadakan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai terutamanya pelajar tentang keselamatan jalan raya sejajar dengan hasrat kerajaan dalam menjayakan Pelaksanaan Dekad Keselamatan Jalan Raya 2010–2020.

Menurut penganjur program, Nor Afendy Hanapi, beliau berterima kasih kepada pihak USIM kerana dapat menghantar wakil sebagai kontinjen dalam program tersebut.

“Kami juga sangat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh mahasiswa USIM sepanjang program tersebut berlangsung,” ujar beliau.

Mohd Shah Ahmad, 22, Exco Sukan dan Kesenian, Majlis Perwakilan Pelajar USIM, beliau berharap program seperti ini dapat dijalankan di USIM pada masa akan datang supaya dapat menarik mahasiswa dan mahasiswi USIM dalam memberi kesedaran tentang keselamatan jalan raya.

“Program seumpama ini turut memberi pendedahan kepada para peserta terutamanya mahasiswa dalam kepentingan keselamatan ketika berada di jalan raya,” tambah beliau lagi.

“Program yang mulanya saya anggap untuk beriadah sahaja, sebenarnya diisi dengan program berbentuk kesedaran mengenai keselamatan jalan raya seperti penggunaan topi keledar dan pemakaian tali pinggang yang betul.

“Program ini bukan sahaja untuk orang ramai tetapi juga untuk kami sebagai mahasiswa yang sering alpa untuk mengejar ‘pointer’ dalam peperiksaan tanpa mengetahui ilmu lain seperti ini,” kata Muhammad Noorhasif Hisham, 21, FPQS, pelajar dari Program Sunnah Pengurusan Maklumat.

Program tersebut berakhir pada jam 12.00 tengahari dengan sesi jamuan untuk semua yang hadir.

Mahasiswa dan mahasiswi USIM berasa sangat gembira kerana mereka mendapat pengalaman yang berharga daripada program tersebut.

 

 

 


USIM pilih atlet ping-pong untuk sukan MASUM
Oleh:  Nur Azah & Siti Norzaleha

Picture
 PANDAN INDAH- “Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) mampu menan- dingi universiti-universiti  lain dalam setiap acara sukan yang dianjurkan meskipun USIM merupakan universiti baru,” menurut penyelaras sukan ping pong, En. Mohammad Syairazi bin Ali, 28.

Sukan ping pong antara kampus Pandan dan kampus Nilai yang diadakan pada 16 Januari lalu adalah bertujuan memilih wakil pemain ping pong untuk turut serta dalam Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) tidak lama lagi.

Menurut En. Mohammad Syairazi, pemilihan pemain ping pong ini dibuat berdasarkan kebolehan, ketangkasan serta kekuatan dari segi fizikal dan mental setiap pemain. Semangat yang ditonjolkan oleh mereka begitu mengagumkan walaupun mempunyai tugasan penting dan perlu dilaksanakan tetapi mereka tetap meluangkan masa bersama  setiap hujung minggu untuk berlatih serta mempraktikkan teknik baru.

Walaupun sekarang ini sukan ping pong ketiadaan jurulatih tetapi mereka tetap mampu untuk berlatih demi meningkatkan prestasi masing-masing. Mereka juga berharap di masa akan datang, setiap sukan yang dijalankan mempunyai jurulatih yang berkebolehan untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka.

Pihak pengurusan sukan USIM mengadakan pemilihan ini supaya mahasiswa yang berada di Pandan Indah tidak akan terabai kerana kedudukan kampus jauh dari kampus tetap dan sekaligus mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain.

Menurut salah seorang pemain sukan ping ping, Mohd Fathi Safuan Mohd Yusoff, 24, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), dia meminati sukan ini sejak dari sekolah menengah lagi dan tidak akan melepaskan peluang jika terpilih untuk mewakili MASUM dalam sukan ping pong. Dia juga berharap agar anak-anak melayu kini lebih maju dalam bidang sukan dan kemajuannya setaraf dengan bangsa lain terutama cina.

“Walaupun baru pertama kali saya menyertai sukan ping pong, saya rasa seronok apabila dipanggil untuk turut serta dalam pemilihan ini. Saya juga dapat mengetahui serta mempelajari cara atau teknik yang betul melalui pemain-pemain sebelum ini yang berbakat besar,” kata Nurulaisyah Aqilah binti Kamarul Zaman, Fakulti Pergigian (FPG), tahun 3.

 

 


 Sukan Fakulti Sains dan Teknologi meriah
Oleh: Mohd Sirajudin & Ahmad Faiz

Picture
NILAI - Fakulti Sains dan Teknologi telah menganjurkan sukan fakulti atau lebih dikenali sebagai SUFAST yang bertempat di Kompleks Sukan USIM. Program yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 3 petang telah disertai oleh pelajar daripada kursus yang berlainan daripada tahun satu hingga tahun empat.

 Program ini juga telah dihadiri oleh Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi yang dijemput hadir sebagai tetamu khas untuk merasmikan program tersebut. 

Menurut pengarah program Mohd Solahuddin Al-Mundzir Mohd Fuad, 22, Pelajar tahun 3 FST, objektif utama program ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi tautan mahabah diantara pelajar selain dapat mengenalpasti bakat-bakat baru di kalangan pelajar untuk menjadi pelapis pada masa akan datang khususnya daripada pelajar tahun satu.

“Program sukan yang telah diadakan selama sehari ini juga menganjurkan tiga acara permainan iaitu futsal lelaki dan wanita, bola tampar lelaki dan wanita serta bola jaring,” katanya lagi. Beliau juga berkata menjelang perlawanan sufa yang akan datang, program yang telah diadakan ini juga adalah semata-mata untuk membuat pemilihan pemain untuk pertandingan SUFA.

Pengarah program ini juga telah menambah program fakulti seperti ini memang patut diadakan kerana ianya bukan sahaja dapat memenuhi masa lapang pelajar tetapi pada masa yang sama dapat mengajak pelajar menjalani hidup yang sihat. Beliau juga menyarankan kepada fakulti lain agar dapat melakukan perkara yang sama     sepertimana yang mereka lakukan.

Menurut pandangan seorang lagi pelajar FST yang ditemui, Mohd Syazwan bin Mohd. Zain, 22, mengatakan penyertaan pelajar lelaki untuk program kali ini sangat sedikit terutamanya pelajar tahun 3. Sebilangan pelajar yang hadir ke program tersebut juga sanggup mengorbankan masa dan waktu tidur mereka semata-mata untuk memeriahkan lagi suasana program SUFAST kali ini.