Sukan Fakulti Sains dan Teknologi meriah
 Oleh: Mohd Sirajudin & Ahmad Faiz

Picture
GIGIH…. Para peserta FST berlatih untuk perlawanan SUFA nanti.
 NILAI - Fakulti Sains dan Teknologi telah menganjurkan sukan fakulti atau lebih dikenali sebagai SUFAST yang bertempat di Kompleks Sukan USIM. Program yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 3 petang telah disertai oleh pelajar daripada kursus yang berlainan daripada tahun satu hingga tahun empat.

 Program ini juga telah dihadiri oleh Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi yang dijemput hadir sebagai tetamu khas untuk merasmikan program tersebut. 

Menurut pengarah program Mohd Solahuddin Al-Mundzir Mohd Fuad, 22, Pelajar tahun 3 FST, objektif utama program ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi tautan mahabah diantara pelajar selain dapat mengenalpasti bakat-bakat baru di kalangan pelajar untuk menjadi pelapis pada masa akan datang khususnya daripada pelajar tahun satu.

“Program sukan yang telah diadakan selama sehari ini juga menganjurkan tiga acara permainan iaitu futsal lelaki dan wanita, bola tampar lelaki dan wanita serta bola jaring,” katanya lagi. Beliau juga berkata menjelang perlawanan sufa yang akan datang, program yang telah diadakan ini juga adalah semata-mata untuk membuat pemilihan pemain untuk pertandingan SUFA.

Pengarah program ini juga telah menambah program fakulti seperti ini memang patut diadakan kerana ianya bukan sahaja dapat memenuhi masa lapang pelajar tetapi pada masa yang sama dapat mengajak pelajar menjalani hidup yang sihat. Beliau juga menyarankan kepada fakulti lain agar dapat melakukan perkara yang sama     sepertimana yang mereka lakukan.

Menurut pandangan seorang lagi pelajar FST yang ditemui, Mohd Syazwan bin Mohd. Zain, 22, mengatakan penyertaan pelajar lelaki untuk program kali ini sangat sedikit terutamanya pelajar tahun 3. Sebilangan pelajar yang hadir ke program tersebut juga sanggup mengorbankan masa dan waktu tidur mereka semata-mata untuk memeriahkan lagi suasana program SUFAST kali ini.