Usaha meningkatkan generasi tanpa rokok gagal

Oleh: Hanani, Siti Norzaleha & Khairurradiah
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     

Picture
BAHAYA...jauhi rokok
Di Malaysia, pelbagai kempen giat dijalankan demi melahirkan masyarakat yang sihat, berdisiplin, bertanggungjawab, dan mampu menerajui negara dengan adil di masa akan datang. Apatah lagi ba- nyak agensi kerajaan berlumba-lumba mencipta idea-idea kreatif serta me- ngadakan pelbagai bentuk kempen kesedaran khususnya untuk memberi pendedahan kepada masyarakat.

Walaupun pelbagai kempen seperti kempen keselamatan jalan raya atau lebih dikenali sebagai Ops Sikap, kempen kesihatan yang berkaitan dengan wabak penyakit (H1N1) serta kempen ‘Tak Nak Merokok’ telah diadakan, namun kempen-kempen ini tidak menampakkan hasil yang memuaskan semua pihak.

Kempen ‘Tak Nak Merokok’ telah dipertontonkan melalui media elektronik dan media cetak di Malaysia. Walaubagaimanapun, ianya masih tidak mendapat tindak balas positif daripada perokok-perokok khususnya perokok tegar. Malah tidak keterlaluan jika ada yang mengatakan usaha murni itu disifatkan sebagai pembaziran wang rakyat.

Kajian Kementerian Kesihatan mendapati 45 hingga 50 kanak-kanak bawah 18 tahun telah menjadi perokok baru setiap hari, manakala setiap tahun jumlah perokok semakin me-ningkat sebanyak 30,000 orang dan seluruh negara kini mempunyai lebih 3.12 juta orang perokok.

Pelbagai cara dilakukan kerajaan seperti menayangkan iklan yang cukup menakutkan melalui televisyen, gambar pelbagai jenis penyakit berbahaya akibat merokok dipaparkan di setiap kulit kotak rokok, menaikkan harga rokok serta mewujudkan 270 buah Klinik Berhenti Merokok untuk membendung gejala ini dari berleluasa. Namun ianya tidak meng halang perokok tegar atau perokok yang baru berjinak-jinak untuk membelinya.

Bagi perokok, merokok adalah suatu gaya hidup yang menyeronokkan, lambang kematangan dan kedewasaan di kalangan rakan sebaya serta daya penarik bersosial selain daripada menunjukkan tanda keberanian.

Kesemua program atau kempen yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan menelan perbelanjaan yang sangat tinggi sehingga mencecah RM20 juta setahun atau RM100 juta untuk lima tahun. Jumlah itu tidak termasuk kos mewujudkan 270 buah Klinik Berhenti Merokok.

Jadi, sejauh manakah keberkesanan semua kempen tersebut? Adakah kempen ini mampu mencapai sasaran yang dikehendaki atau kempen ini hanya mahu dikenali sebagai kempen tanpa sasaran? Perlu diingat, yang kaya hanyalah ‘tauke printing’, ‘tauke papan iklan’ serta syarikat media TV dan radio swasta.

Peliknya, semakin bahaya sesuatu benda atau perkara yang dilakukan semakin masyarakat suka melakukannya. Tambahan pula, semakin banyak kempen dijalankan untuk kepentingan bersama semakin ramai yang tidak mengendahkannya.

Ini menunjukkan masyarakat khususnya perokok sudah tepu dan lali dengan perkara sebegini. Timbul tanda tanya kenapa mereka tidak pernah rasa bersalah terhadap kesihatan mereka sendiri dan tidak berasa rugi bakar duit?

Adakah disebabkan strategi kempen tersebut tidak dilakukan dengan sebaik-baiknya ataupun masyarakat itu sendiri yang tidak mahu mengubah sikapnya?

Tepuk dada tanyalah diri sendiri. Sudah tiba masanya untuk masyarakat khususnya perokok tegar membuka mata seluas-luasnya, merenung dan  muhasabah diri akan pembaziran wang kesan daripada pembelian rokok selama ini serta mengambil berat terhadap kesihatan diri sendiri dan juga orang lain.

Jika anda seorang perokok dan  merasakan kempen anti merokok itu tidak berguna, dan tidak akan member kesan kepada tabiat merokok anda,  maklumkanlah kepada pihak yang menjalankan kempen supaya menyalurkan wang tersebut kepada orang lain yang benar-benar memerlukan wang tersebut. Gunakannya untuk aktiviti kempen lain yang mungkin boleh memberikan kesan kepada masyarakat. Inilah jasa anda sebagai seorang perokok. Katakan “Tak Nak” kepada kempen yang membazir, “Tak Nak” kepada sikap hipokrit dan  “Tak Nak” kepada kerja yang sia-sia.